Archive for December, 2007

Selamat Tinggal SDARY

Posted: 31 December, 2007 in Umum

Saya selaku webmaster untuk laman ini terpaksa meninggalkan SDARYJB setelah permohonan pertukaran diluluskan berkuatkuasa 1 Januari 2008. Maka bermula detik itu, saya tidak lagi dapat mengemaskini maklumat untuk laman ini. Namun begitu, perkembangan laman ini InsyaAllah akan saya ikuti selagi ada daya. Buat pengganti saya yang akan menguruskan laman ini, moga lebih banyak maklumat yang dapat dimuatnaik.

Sepanjang hampir 6 tahun berkhidmat di SDARY, banyak pengalaman yang amat bermanfaat kepada saya. Daripada seorang yang sukar untuk berkomunikasi, saya mula jadi berani untuk berbicara. Dari seorang yang serba tidak tahu, akhirnya banyak ilmu yang saya timba. Dari seorang yang ‘lewa’, kini lebih ‘cakna’. Banyak lagi yang saya peroleh dari SDARY…

Pn Fatimah Jalil, Pn Fauziah Dawam(pemangku), En Juhair Jumaat dan akhir sekali Pn Hjh Norizah Abdul Manap… kalian adalah pengetua yang menjadikan diriku sepertinya sekarang. Dengan teguran, nasihat, pesanan dan pelbagai lagi buatkan diri ini semakin tabah menghadapi karenah pelajar dan teman-teman dalam dunia pendidikan.

Berada di SDARY bagaikan berada di ‘rumah’ sendiri. Teman-teman bagaikan ahli keluarga yang saling bantu membantu. Anak-anak didik umpama adik-adik yang perlu dibimbing… Dimarah, ditegur kerana rasa sayang…

Hati ini sayu untuk meninggalkan SDARY, namun saya perlu pergi. Walau jasad tidak di sini, namun hati ini akan sentiasa mengingati setiap detik perjalanan hidup di SDARY. SDARY dan warganya banyak meninggalkan kenangan yang tidak mungkin dapat saya lupakan.

Terima kasih untuk kalian semua yang memberikan kenangan ini. Salam untuk semua.

Pelajar-pelajar yang akan memulakan persekolahan Tingkatan 1 2008 di SDARYJB dikehendaki hadir untuk mendaftar pada 1 Januari 2008. Kelewatan pendaftaran akan menyebabkan pelbagai kesulitan.

Pelajar-pelajar tingkatan 2, 3, 4 dan 5 pula boleh mendaftar dan menjelaskan yuran pada 2 Januari 2008. Yuran hendaklah dijelaskan kepada guru tingkatan masing-masing.

Tahniah!!!

Posted: 27 December, 2007 in Kurikulum

Tahniah kepada semua calon PMR 2007. Yang berjaya, teruskan usaha anda… yang kurang bernasib baik, masa yang akan merubah segalanya kiranya anda giatkan usaha anda.

Buat adik Sumirah Saion, sekalung tahniah untuk anda dari pihak sekolah kerana berjaya memperoleh A untuk kesemua 8 subjek yang anda duduki. Tahniah sekali lagi. Semoga ini menjadi titik tolak kepada kejayaan anda di masa mendatang.

Tahniah juga untuk pihak pentadbir sekolah yang bertungkus lumus merancang pelbagai program untuk mempertingkatkan prestasi pelajarnya. Usaha yang padu akhirnya membuahkan hasil apabila pencapaian keseluruhan sekolah meningkat 10%.

Tahniah juga kepada semua guru-guru SDARY yang menyumbangkan tenaga, usaha & idea dalam merealisasikan impian bersama melihat kejayaan pelajar yang dididik. Tahniah untuk Panitia Matematik yang berjaya menyahut cabaran dalam meningkatkan peratus kelulusan untuk subjek tersebut. Peningkatan 12.77% adalah yang tertinggi peringkat sekolah untuk PMR kali ini.

Tahniah sekali lagi untuk semua. Kejayaan ini adalah kejayaan bersama.

Ingin dapatkan ringkasan keputusan sekolah? Klik di sini.

Keputusan PMR Diumumkan

Posted: 20 December, 2007 in Kurikulum

Kepada semua calon PMR, jangan lupa untuk mendapatkan keputusan PMR anda pada hari Khamis 27 Disember 2007. Keputusan boleh diambil selepas 10.00 pagi. Seperti tahun-tahun sebelumnya, sila berpakaian seragam sekolah yang lengkap. Semoga anda lulus dengan cemerlang.

Penjualan Buku & Alatulis Sekolah

Posted: 16 December, 2007 in Umum

Semua ibu bapa & pelajar SDARYJB boleh membeli buku tulis dan juga peralatan lain di Koperasi SDARYJB bermula 26 Disember 2007.

Sila buat pembelian dengan segera untuk mengelakkan anda tidak memperoleh barangan yang dikehendaki atau diperlukan. Pembelian awal juga mampu mengelakkan kesesakkan dan masalah menunggu lama.

Terima kasih atas perhatian semua.